5.6.10

Cadangan Terbuka Buat FAM

Kita sedia maklum bahawa penggunaan pemain-pemain import di setiap pasukan yang bertanding di dalam liga bola sepak Malaysia tidak lagi dibenarkan. Saya yakin bahawa FAM telah memikir dan meneliti secara telus tentang impaknya terhadap pemain, pasukan dan liga itu sendiri apabila ia dilaksanakan. Namun, saya tetap berpendapat bahawa khidmat pemain import ini tetap penting dalam mencorak perkembangan bola sepak negara. Oleh itu, saya ingin mencadangkan satu pendekatan yang boleh diguna pakai oleh FAM sebagai langkah untuk benar-benar menguji tahap skil pemain tempatan dan untuk menaikkan lagi standard liga tempatan seterusnya merancakkan kembali sokongan peminat terhadap liga tempatan.


Saya mencadangkan supaya sebuah pasukan bola sepak dibentuk, yang mana pemain-pemainnya terdiri daripada pemain-pemain import sepenuhnya. Bermula daripada pemain simpanan, penjaga gol sehinggalah kepada kapten, tiada seorangpun dikalangan pemainnya ‘hadir’ daripada pemain tempatan. Pasukan ini kemudiannya diserapkan ke dalam liga tempatan sebagai saingan kepada pasukan tempatan yang bertanding.


Terdapat beberapa sebab dan tujuan mengapa pasukan import ini perlu diwujudkan.


* Peringatan


Sebagai permulaan, saya mencadangkan bentuklah pasukan import tersebut daripada pemain-pemain yang mempunyai skil permainan yang hampir setaraf dengan standard pasukan tempatan ketika ini. Sewajarnya bermula dengan pemain import yang berasal daripada negara-negara serantau seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia. Ini kerana, selain tidak mahu memberi kejutan yang begitu mendadak terhadap perbezaan skil permainan yang begitu ketara, ia juga sebagai usaha untuk mengingatkan kembali kepada pemain kita bagaimana dahulunya negara-negara tersebut merasa gentar apabila mengetahui akan berhadapan dengan pemain-pemain kita. Tetapi kini mereka pula yang telah melangkah semakin jauh meninggalkan kita. Dan molek juga jika diserap masuk beberapa pemain daripada negara seperti Korea dan Jepun. Ini juga untuk mengingatkan kembali kepada pemain-pemain kita bagaimana dahulunya negara tersebut menjadi pasukan belasahan Harimau Malaya tetapi kini mereka pula yang telah beberapa kali terpilih untuk mewakili asia dalam perjuangan membawa pulang Piala Dunia.


Dan pasukan import tersebut kemudiannya perlulah sedikit demi sedikit ‘dinaik taraf’ dengan pemain-pemain import yang memiliki skil yang lebih tinggi bagi menyaingi skil pemain tempatan yang kita harapkan semakin meningkat naik berselang musim, sehinggalah pemain kita sendiri tidak menyedari bahawa kebolehan mereka telah meningkat sejak kali pertama pasukan import ini diperkenalkan.


* Pendedahan kepada perlawanan antarabangsa yang menyeluruh dan berterusan.


Tujuan lain pasukan import ini diwujudkan adalah bagi membiasakan pemain tempatan kita untuk berhadapan dengan pemain negara asing. Tidak boleh dinafikan, walaupun skil yang dimiliki seseorang pemain itu adalah tinggi, tetapi pendedahan yang kurang di pentas antarabangsa menyebabkan pemain tersebut tidak dapat menahan debaran serta mengawal tekanan daripada peminat dengan baik apabila berhadapan dengan mana-mana pasukan negara luar seterusnya menjadi gugup apabila berada di atas padang. Situasi begini biasa berlaku kepada pemain tanpa mengira apa sahaja bidang sukan yang diceburinya. Dan ketika ini, Malaysia memang kurang pendedahan beraksi di peringkat antarabangsa dan saya yakin, pasukan import ini akan dapat membantu memberi pendedahan yang sangat diperlukan itu.


Untuk difikirkan bersama, bayangkan di dalam Liga Super sahaja terdapat 14 buah pasukan yang bertanding dengan sekurang-kurangnya 11 pemain bermain tidak termasuk pemain simpanan, maka sekurang-kurangnya terdapat 154 pemain tempatan yang berpeluang untuk menerima pendedahan yang dahulunya hanya diberikan kepada pemain kebangsaan sahaja. Inilah dikatakan pendedahan yang menyeluruh.


Dan pendedahan itu akan berterusan selagi liga itu masih berlangsung seterusnya mengekalkan momentum sesuatu perlawanan itu tanpa diganggu dengan tempoh yang terlalu lama untuk menanti perlawanan di peringkat antarabangsa yang seterusnya. Inilah dikatakan pendedahan yang berterusan.


Ketika negara lain semakin jauh meninggalkankan kita, kita sudah tiada masa untuk melatih hanya beberapa pemain tempatan sahaja untuk dijadikan tonggak utama pasukan Malaysia, setiap pemain perlu diberikan pendedahan yang sama dan pada kadar yang segera supaya di masa akan datang, Malaysia akan mempunyai pilihan pemain yang lebih ramai dan berkualiti.


* Kesungguhan


Dengan wujudnya pasukan ini, kita mengharapkan akan terdetiklah di dalam hati setiap pasukan tempatan yang bertanding dengan satu ungkapan yang memberontak menyatakan,‘Letaklah seluruh pemain ternama England sekalipun di dalam pasukan import itu, piala kemenangan tetap akan menjadi milik pasukan tempatan!’. Itulah semangat yang kita harapkan ada di setiap hati pemain bola sepak kita dan terus kekal ada sehinggalah pasukan yang diwakilinya itu tidak lagi akan dibayangi dengan pasukan import tersebut.


* Daya tarikan dan kayu pengukur


Pemain-pemain tempatan juga akan merasakan seolah-olah, mereka sedang berjuang di dalam perlawanan di antara Malaysia dengan pasukan negara luar tetapi ia berlangsung di dalam liga tempatan itu sendiri. Tidakkah ini sesuatu yang menarik? Dan ini juga pada saya adalah salah satu cara untuk mempertingkat selain memperlihat di manakah prestasi sebenar pemain tempatan kita selain daripada cara menghantar pemain tempatan kita ini ke luar negara untuk menjalani latihan mahupun mengadakan perlawanan persahabatan. Tidakkah ini pula mampu menjimatkan kos pembangunan bola sepak negara?


* Penuh Makna


Justeru dengan wujudnya pasukan ini, perjalanan pasukan yang bercita-cita untuk merebut tahta liga tersebut akan menjadi lebih sukar dan menjadi juara di dalam liga tersebut akan menjadi lebih bermakna.


Saya cukup yakin, jika ini dapat dilaksanakan, manfaat yang bakal diperoleh daripada segi peningkatan prestasi pasukan dan pemain serta kehadiran peminat ke stadium untuk menyaksikan perlawanan tersebut akan melangkaui kos untuk membentuk pasukan import tersebut. Apa yang peminat bola sepak tempatan mahukan selama ini hanyalah ingin menyaksikan perlawanan bertaraf dunia dan pasukan import tersebut adalah jawapannya.


Dari segi sistem pemarkahan, terserahlah pada kebijaksanaan FAM untuk menentukannya tetapi sekadar cadangan daripada saya, pasukan import tersebut wajarlah diberikan markah seperti mana-mana pasukan tempatan lain yang bertanding, tetapi dengan syarat piala kemenangan tersebut tetap akan dianugerahkan kepada pasukan tempatan yang memungut mata tertinggi sepanjang liga tersebut berlangsung walaupun pasukan import tersebut berjaya berada di tangga teratas liga. Tetapi jika FAM merasakan tindakan ini akan membuatkan pasukan import tersebut tidak mahu untuk bermain bersungguh-sungguh ketika liga tersebut berlangsung dan mendatangkan kesulitan apabila mahu menghantar wakil ke pertandingan juara-juara liga AFC nanti seandainya pasukan import tersebut dianugerahkan kemenangan, maka sekali lagi saya nyatakan, terserahlah kepada FAM untuk menentukannya. Dan namakanlah pasukan import tersebut dengan nama yang boleh mengingatkan pasukan tempatan mengapa ia asalnya diwujudkan.


Dan tiada lain yang lebih penting bagi rakyat Malaysia selain daripada melihat pasukan Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia.


MAJULAH SUKAN BOLA SEPAK UNTUK PIALA DUNIA

ILHAMEJAN

ILHAMEJAN
Aku Tahu Kau Tahu